Cerita Musafir Bersama Anak Kecil

Minggu lepas saya ke Kuala Lumpur untuk beberapa urusan penting iaitu bertemu klien tineeminee.com

dan geogear.my, juga menghadiri seminar Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan oleh Dr Azizan Osman.

 

Saya turut membawa 4 orang anak-anak saya berusia 7,5,4, dan 2 tahun. Suami, Roslan Arifin akan menjemput di KLIA.

Sesampainya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, para petugas Malaysia Airlines memberitahu seorang dewasa hanya boleh bawa maksimum seorang kanak-kanak 2-12 tahun dan bayi 0-2 tahun sahaja.

Saya beritahu mereka, tidak ditulis larangan bawa lebih kanak-kanak. Jika tidak, sudah pasti sistem tempahan online akan sekat tempahan saya. Mereka pon pening. Saya cakap tak apalah, anak-anak ini boleh bawa diri sendiri. Dan staf MAS menasihati saya supaya kawal anak-anak agar tidak mengganggu penumpang yang lain.

Alhamdulillah. Allah yang Maha Membantu dan Maha Memudahkan. Petugas MAS sangat membantu, friendly dan anak-anak juga pandai membawa diri dengan baik.

Penerbangan kami 8.45 pagi. Kami melakukan ‘online check-in’ dan hanya beratur untuk ‘drop luggage.’

Berikut ialah tips untuk musafir dengan anak-anak bersendirian.

1. Doa. Paling utama. Doa agar dipermudahkan. Doa agar diberi keselamatan. Ajari anak supaya membaca doa naik kenderaan.

2. Pastikan anak-anak kenyang dan sudah membuang. Boleh bawa “diapers pants” dan tisu basah untuk kecemasan. Ibu juga selesaikan urusan tandas segera supaya tidak ada ‘kecemasan’ nanti. Hihihi…

3. Bekal makanan. Bawalah bekal biskut, dan coklat untuk dimakan sementara menanti penerbangan dan juga semasa di dalam penerbangan. Coklat untuk dikemam bila telinga bengang akibat perubahan tekanan udara semasa penerbangan.

4. Light and easy. Sediakan beg galas seorang satu. Masukkan barang dan baju persalinan masing-masing ke dalam beg individu. Nyatakan setiap orang perlu bertanggungjawab ke atas beg sendiri.

5. Mainan. Setiap anak dibenarkan bawa satu permainan kegemaran menaiki kapal tebang. Oleh kerana pagi itu mereka terlupa, saya belikan Kinder Joy dan masing-masing mendapat permainan. Saya juga turut membawa ‘Busy Bag’ untuk dimainkan bersama.

6. Pakaian yang selesa. Pakaian anak-anak dan kita sendiri biarlah yang paling selesa dan menutup aurat untuk senang bersolat.

7. Lantik pembantu. Saya memberitahu anak-anak, ibu ketua kumpulan. MESTI ikut cakap ibu. Kakak Nauwal pembantu ketua. MESTI ikut cakap kakak. Namun, perlu dirujuk ibu juga terlebih dahulu.

8. Alert. Bila bawa anak-anak, ibu perlu berjaga-jaga sentiasa. Janganlah asyik bermain telefon.

9. Beri perhatian. Anak-anak ialah ‘attention seeker’. Mereka buat apa pon mahu kita beri perhatian. Jadi bercakap sentiasa dengan mereka. Jadikan alam sekeliling sebagai point berbual. Tanya nama benda, tanya apa yang mereka nampak. Puji perbuatan baik mereka. Puji apabila mereka saling membantu. Puji apabila mereka menolong orang lain. Puji apabila mereka duduk diam di kerusi dan memasang tali pinggang. Saya dapati, apabila perbuatan baik mereka dipuji, anak-anak terdorong untuk berkelakuan baik.

10. Penerapan nilai murni. Semasa bermusafir kita dapat ajar nilai murni. Selepas makan, buang sisa ke dalam tong sampah. Berjalan laju dan tidak menghalang laluan orang lain. Beri orang lain jalan dahulu. Tidak bising dalam kapal terbang. Senyum kepada semua orang. Ucapkan terima kasih kepada pramugara dan pramugari. Beri kerusi kepada orang tua dan orang yang lebih perlu.

Alhamdulillah, alhamdulillah. Allah mudahkan perjalanan kami. Dan kami bertemu dengan manusia-manusia yang banyak membantu.

Pengalaman manis dan mengujakan. Mudah-mudahan beroleh peluang untuk musafir bersama-sama lagi.