Tunjukkan Yang Betul

Selepas Kak Noor Azma Khassim Umki balik tadi, anak-anak mula rasa sunyi.

Kakak Nauwal yang hampir 3 minggu bercuti, saya arahkan siapkan homework Bahasa Arab.

Abang Hilal tiba-tiba rajin mahu buat latihan juga. Saya berikan buku latihan menulis untuk anak pra sekolah.

Sedang ralit membuat latihan, Adik Manal datang duduk di riba, menyuruh saya peluk dan dengar bacaan surah. Seketika mata saya beralih dari abang kepada adik.

Apabila pusing kepada abang, nampaknya dia sengaja tulis dengan salah. Saya tahu, dia cemburu pada adik.

Mengambil iktibar dari hadis Rasulullah yang tidak marah atas kesalahan, namun menunjukkan cara yang betul, yang saya pelajari dari Cikgu Kay,Khairulaniza Khairuddin:

Hadith ‘Ammar Mandi Debu’

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Ammar bin Yasir melaporkam bahawa Nabi Muhammad pernah menghantar dia supaya menjalankan suatu urusan. Kemudian Ammar melakukan hadas besar, tetapi dia tidak mempunyai air bagi melakukan mandi wajib. Lalu dia pun mengguling-gulingkan badannya di atas pasir seperti haiwan ternak berguling-guling. Kemudian dia pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad lalu dia menceritakan apa yang dilakukannya kepada beliau. Nabi Muhammad berkata, “Sebenarnya, cukuplah saudara melakukannya dengan tangan saudara sahaja, begini caranya.” Kemudian beliau menepuk kedua-dua tapak tangannya ke pasir dengan sekali tepuk, lalu mengibaskannya. Kemudian beliau mengusapkan tangan kirinya ke tangan kanannya, selepas itu mengusap bahagian atas kedua tapak tangannya, dan kemudian mengusapi mukanya.” – Catatan ini terdapat dalam koleksi hadith-hadith autentik Bukhari dan koleksi Muslim.

Saya ambil tangan abang Hilal, pegang pemadam dan padam. Kemudian saya lepaskan tangannya.

Dia meneruskan dan memadam hingga habis.

Kemudian saya tunjukkan, “Abang, ikut seperti yang ditulis di atas ini.”

Dia menurut sahaja.

Saya teruskan dengan memuji perbuatan baiknya. “Bagus abang malam ni rajin buat latihan, tahu menulis dengan cantik. Ibu bagi 30 markah.”

Dia tersipu malu dan menyambung buat latihan 2 muka surat lagi tanpa disuruh dan tanpa sengaja buat salah.

Allahumma solli wa sallim wa baarik ‘alaa saiyidina Muhammad.

#homeschooling
#mudahnyaTeknikNabi